Skip to content

Meniru itu menipu!!!!

 Mengapalah anak-anak muridku di hadapanku ini suka sangat meniru dalam peperiksaan. Tidak sah sesuatu peperiksaan itu kalau tak meniru. Kalau tidak meniru rakan sebelah-menyebelah, mereka meniru daripada kertas-kertas nota yang sengaja dibawa masuk ke bilik peperiksaan. Pantang guru menundukkan kepala, maka berpusinglah kepala mereka sehingga 360 darjah menjenguk jawapan rakan-rakan. Tertekan juga aku dibuatnya berhadapan dengan anak-anak murid kaki meniru ini.  Mungkin salah satu sebab guru mengalami tekanan mental (a.k.a gila) agak-agaknya kerana kelakuan pelajar yang sangat suka meniru ni. Sekali kena tegur, sekali berhenti, kemudian melakukannya lagi. Yang peliknya, rakan yang ditiru itu, bukannya pelajar yang pandaipun…. 2 X 5 juga. Tertekan ni!! 

Apalah gunanya kalau sekadar untuk mendapatkan markah ujian yang tinggi tetapi gagal dalam peperiksaan sebenar.  Sesungguhnya, sedarlah anak-anakku, meniru itu menipu namanya, dan hukum menipu  sudah pastilah haram dan berdosa sebagai mana hadis yang berbunyi,

 

“Barang siapa yang tidak berlaku jujur (meniru) maka bukanlah (dia itu) dari kalangan kami” [Hadith riwayat Al-Bukhari].

Hadis yang lain, yang bermaksud;  “Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. pernah melalui seorang laki-laki yang sedang menjual makanan (biji-bijian). Baginda sangat mengaguminya, kemudian memasukkan tangannya ke dalam tempat makanan itu, apabila dilihatnya makanan itu nampak basah, maka bertanyalah baginda, ”Apa yang dilakukan oleh pemilik makanan ini? Ia menjawab:  “Kena hujan”. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: “Mengapa tidak kamu letakkan yang basah itu di atas, supaya orang lain mengetahuinya?!  Barang siapa menipu , bukanlah (mereka) dari golongan kami (Islam)” (Riwayat Muslim, 1/99)

Amat malang,  gejala meniru yang hanya memberi keuntungan semasa di dunia ini cukup digemari oleh ramai orang, tanpa mereka sedari bahawa perbuatan mereka akan disoal pada hari kemudian. Sekiranya dapat melanjutkan pelajaran ke universiti hasil daripada aktiviti meniruini, kemudiannya mendapat pekerjaan, saya bimbang tanpa tanpa kita sedari kita telah termakan yang haram.  Saya tidak berhajat untuk menjustifikasikan perbuatan itu dari segi hukum syara’ kerana segalanya jelas. Mengambil manfaat dari usaha orang lain itu adalah kebatilan yang dicegah Islam  dalam konteks muamalah kita sesama manusia.

Meniru sudah jadi kebiasaan sehingga ia melekat sebagai tabiat kepada sesiapa sahaja. Yang beragama, yang biasa-biasa, pelajar sekolah Arab, atau di sekolah berasrama penuh, meniru sudah secara senyapnya diterima dan dianggap biasa, tidak lagi dianggap satu dosa!!

Bulan Februaripun menjelma…. rakyat Gaza terus menderita.

Pejam celik, pejam celik rupa-rupanya bulan Februari sudahpun menjelma. Baru sahaja rasanya Januari 2009 datang dan sekarang sudahpun berlalu pergi. Terlalu cepat masa berlalu dan sampai hari ini, apakah perkara baik yang telah kita berjaya laksanakan tahun ini?  Adakah azam baru kita untuk membuat perkara yang baik-baik sahaja telahpun berjaya kita lunaskan.

Minggu lepas pelajar-pelajar prauniversiti melancarkan Tabung Bantuan Kemanusiaan Gaza dengan menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM1000.00 daripada warga SMK Putra dan sedihnya, apabila seminggu berlalu kutipan hanya mencapai RM 250.00 sahaja dan dicampurkan dengan kutipan daripada guru menjadikan jumlah kutipan sebanyak RM 500. 70 sahaja. Terdetik juga di fikiranku,  tidak adakah sedikit ruang simpati dan belas kasihan di dalam jiwa murid-muridku dan warga sekolah ini.  Malang sungguh bagi orang Islam yang masih mampu diam membatu diri menyaksikan penderitaan Gaza.  Sekurang-kurangnya dengan menghulurkan derma seringgit dua kita  telah berbuat sesuatu membantu sesama Islam.  Untuk turut sama berperang, kita tidak mampu. Yang mampu kita buat di samping memberi sedikit sumbangan,  memboikot mana yang patut terutama barangan Amerika,  marilah kita sama-sama  berdoa agar rakyat Palestin terus diberi kekuatan untuk berjuang dan mempertahankan tanah air mereka dan Israel segera dihukum dan dibinasakan.

Di bawah saya perturunkan surat dari Gaza untuk bacaan dan renungan bersama…. maaf ya Awang Rajuk, curi dari blog Awang ni!

Januari 2009:

Kepada saudara dan saudari seimanku, di sini aku ingin mengambil sedikit waktu untu mengirimkan pesan kepada kalian dari kami di Gaza. Tolong dengarkan dan perhatikan sitasi kami dan beritakan kepada siapa saja yang anda kenal dan tidak anda kenali. Keadaan kami sangat mengerikan  tetapi insya-Allah keimanan kami masih kuat , Alhamdulillah.

Walaupun kami tidak mempunyai air untuk diminum, jikapun ada, ia sudah tercemar dan kami tidak mempunyai wang untuk membeli air lagi. Jika kami mempunyai wang dan ada orang yang menjualnya, namun keadaan begitu bahaya untuk kami  keluar mendapatkannya. Kami tidak mempunyai bahan bakar sejak empat bulan kebelakangan ini. Kami memasak menggunakan api dari kayu bakar yang telah kami persiapkan sebelumnya.

Saudara-saudara kami kehilangan pekerjaan mereka.  Mereka hanya menghabiskan sisa waktu mereka di rumah saja. Suamiku telah menghabiskan banyak waktunya hanya untuk keluar dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mencari air. Dan sering dia pulang hanya dengan tangan kosong.

Di sini tiada sekolah, tiada bank, dan hampir tidak ada rumah sakit yang dibuka. Dan kami harus terus berhati-hati dengan segala risiko kematian apabila kami pergi atau berada di luar rumah. Mereka (tentera Israel) hanya memberi kami waktu dari jam 1-4 petang. Kami dapat keluar, kata mereka , dalam keadaan selamat untuk mendapat bekalan persediaan kami, tetapi mereka BOHONG! Mereka hanya mahu menggunakan kesempatan tersebut untuk menambah daftar para Syuhada ke dalam senarai mereka.

Kami hanya makan sekali sehari nasi dan keesokannya roti. Daging dan susu merupakan makanan yang sangat mewah saat ini. Mereka menggunakan senjata kimia di setiap kawasan di perbatasan sehingga bekalan makanan tercemar oleh racun. Setelah semua ini… kami ingin menyatakan bahawa manusia seluruh dunia telah berdemonstrasi.. Masya-Allah… Pada kenyataannya kalian pergi ke setiap kedutaan besar dan meninggalkan rumah kalian, ini membuatkan kami merasa bahwa kami tidak sendiri dalam perjuangan ini. Tetapi pada malam hari kalian pulang ke rumah dan mengunci pintu rumah kalian. Kami tidak dapat melakukan itu! Aku telah meninggalkan rumahku dan tinggal bersama saudariku pada malam hari di rumahnya yang terletak di tingkat bawah. Jika terjadi serangan, kami harus cepat-sepat meninggalkan rumah tersebut. Betul, kami sangat penat! Apabila kami mendengar roket dan bom dan melihat pesawat terbang begitu dekat dengan rumah kami, aku dan anak-anakku yang masih kecil menjerit dan suami ku merasa tidak berdaya.

Dalam semua ini tiada yang dapat membantu tetapi Allah akan tetap menyelamatkan kami. Ummah ini bertanya, di manakah para tentera? di manakah pertolongan? Tolong jangan lupakan kami kerana hanya kalianlah yang kami punya sekarang. Bantuan-bantuan dari kalian tidak sampai kepada kami, dan apabila mereka membuka perbatasan, yang sampai hanya sedikit sekali. Teruslah bekerja untuk ALLAH dan berdoa agar pertolongan Allah akan turun tidak lama lagi..Insya-Allah…
Wassalam. Saudari kalian, Umm Taqi

Catatan: kutipan terakhir diperoleh daripada Cikgu Jo dengan pesanan, sampaikan sumbangan ini kepada wakil Hamas ya…. kalau boleh sumbangkan kepada Tabung Kemanusiaan Harakah sebab kutipan derma tu Insya-ALLAH diyakini akan terus diberikan kepada pemimpin Hamas.  Kalau tabung kutipan anjuran pihak lain, kemungkinan besar akan diserahkan kepada Duta Palestine di Malaysia. Faham-faham sajalah, kata Cikgu Jo. Kira macam bagi kat Fatahlah tu. 

Insya-Allah saya akan pastikan sumbangan kalian akan disalurkan melalui saluran yang sah kepada dua pemimpin Hamas iaitu Sami Abu Zuhri dan Dr. Abu Husam.

Salam tahun baharu..

Tahun 2009 telah 4 hari berlalu. Terlalu cepat masa berlalu. Rasanya baru saja saya merakamkan ucapan tahun baru 2008, sekarang 2009 telahpun menjengah. Sudah 2 hari saya memulakan tugas rutin saya setelah agak lama bercuti panjang dan bermulalah hari-hari yang menyesakkan bermula awal pagi hinggalah selamat pulang ke rumah jam 4 petang.

Hari pertama di sekolah sesi 2009, seperti biasa bertemu dengan anak-anak muridku yang tiap-tiap hari persekolahan nanti akan bertemu dan memandang wajahku serta akan mendengar bebelanku selama hampir 11 bulan sebelum mereka menduduki peperiksaan STPM dan kemudian meninggalkan sekolah ini membawa haluan masing-masing. Akan aku laksanakan tugas dan amanah yang dipertangungjawabkan dengan penuh komitmen dan tabah.

Melihat raut wajah mereka, ada yang ceria, ada yang kelam dan ada yang menunjukkan “kegedebelan” mereka seolah-olah dunia inilah mereka yang punya. Tidak nampak keinsafan dan rasa sedar diri tentang kesusahan hidup keluarga mereka. Mereka datang tanpa matlamat, dengan visi dan misi yang lusuh selusuh baju dan seluar mereka. Datang sekolah hanyalah sebagai rutin yang perlu mereka lalui setiap hari. Semoga Tuhan memberikan aku kekuatan untuk mendidik dan menyampaikan ilmu kepada mereka, walaupun tidak untuk menjadikan mereka seorang mahasiswa universiti tahun depan tetapi sekurang-kurangnya mampu menjadikan mereka manusia sebenar manusia, manusia yang berbudi bahasa dan punya jati diri.

Meratap nasib bahasa dan bangsa yang lara di negara sendiri..

Dipetik dan diubahsuaikan daripada blog saya  http://cikguza.blogspot.com

Musim tengkujuh yang melanda desa dan negeri tercinta sekarang ini menyebabkan hati kerap menjadi sedih dan lara. Hujan menyebabkan rumah burukku terkena tiris dan tempias kerana bumbungnya yang sudah bocor. Dalam seminggu dua ni banyak perkara yang mengejutkan berlaku dalam dunia pendidikan dan politik negara kita. Hari ini, di corong radio dan tayangan berita di dada televisyen juga catatan muka depan akhbar amat meresahkan jiwa saya. Cerita pemilihan dan perebutan kuasa dalam UMNO, keputusan UPSR, cerita nasib Bahasa Melayu dalam situasi pengajaran dan pembelajaran sistem pendidikan negara, nasib mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dan Sejarah masih belum selesai meski kita telah menikmati usia kemerdekaan 51 tahun. Hati bertambah rawan mengenang nasib bahasa yang makin terpinggir di negara sendiri dan isu PPSMI yang tak sudah-sudah.

Bagi meneruskan kelangsungan PPSMI, dengar cerita markah lulus UPSR untuk 3 subjek iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains hanyalah 20% sahaja. Apalah akan jadi kepada nasib anak-anak bangsaku ini. Angkara siapakah ini, bangsaku dan bahasaku hampir hancur lebur dan jadi cacamerba. Ke mana lap top dan wang rakyat berbilion ringgit semata-mata untuk PPSMI? Guru-guru masih mengajar menggunakan bahasa Melayu sedangkan mereka dibayar elaun untuk itu.

Sering sangat fikiran jahatku ini merasuk dan bertanya, apakah yang dikehendaki oleh para jemaah menteri dan pemimpin dan pembesar KPM? Di manakah kredibiliti mereka? Apa yang dibuat oleh mereka? Adakah setakat menghadiri mesyuarat sini dan sana, berunding dan bermeja buat, berseminar yang entah apa-apa tetapi hasilnya masih yang itu-itu juga. Bagaimanakah cara mereka berfikir? Isu bahasa dan budaya yang menjadi teras perlembagaan negara selama ini pun masih belum selesai.

Saya teringat pada zaman saya bersekolah rendah dan menengah dahulu. Saya belajar mata pelajaran Tawarikh, Ilmu Alam, Sains Paduan, Ilmu Hisab dalam Bahasa Melayu. Saya tidak pernah menuntut lebih daripada itu sebab saya diberikan jati diri yang baik dan kental oleh guru saya ketika itu. Tetapi sistem pendidikan hari ini yang dibekalkan oleh guru-guru yang sekerat Melayu, sekerat Inggeris dan sekerat lagi buta budaya maka yang terlahir daripada sistem itu ialah generasi yang kosong dan hilang punca jati diri. Yang dilahirkan oleh guru-guru hari ini ialah generasi yang keliru kontrak sosial dan sejarah bangsa mereka, generasi mat rempit dan minah bohsia…

Semasa menjadi mahasiswa di Universiti Malaya dan berguru dan dididik oleh tokoh-tokoh besar bahasa seperti Prof Dr Nik Safiah Karim, Dr Hashim Haji Musa, Puan Raminah Haji Sabran, Encik Nuwairi Haji Khazaai dan ramai lagi, saya makin kuat berpegang dan berkeyakinan penuh dengan keupayaan bahasa Melayu.

Sebagai guru bahasa, saya sering mengingatkan anak-anak murid saya bahawa mereka perlu belajar Bahasa Melayu bukan bahasa Malaysia. Saya juga sering menyedarkan mereka bahawa mereka juga perlu belajar banyak bahasa, bahasa Inggeris, bahasa Cina, nahasa Jepun, Arab mahupun Tamil. Apabila saya mengajar mereka tentang sejarah dan asal usul bahasa, saya tegaskan bahawa bahasa Melayu telah lama menjadi bahasa lingua franca sejak kurun ke-7 lagi dan menjadi wahana ilmu sejak kurun ke-13 lagi. Saya berjaya menimbulkan rasa bangga kepada mereka tentang keupayaan bahasa Melayu dan percaya bahawa bahasa Melayu sudah lama mampu menjadi bahasa ilmu, bahasa komunikasi, bahasa moden dan bahasa perpaduan. Bahasa Melayu telah diletakkan di tempat yang selamat dalam Perlembagaan dan bertaraf bahasa kebangsaan di negara ini. Apabila sesuatu bahasa itu diangkat menjadi bahasa kebangsaan, bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan tetapi bukanlah dalam situasi yang rasmi. Tetapi malangnya, ada pihak yang tanpa rasa bersalah mahu melanggar kedudukan bahasa Melayu dan cuba “memartabatkan” bahasa lain. Kepada siapa lagi kita mahu mengadu dan merayu?? Marilah kita segera mengubat kesilapan yang sedang membusung dalam perjalanan bangsa dan bahasa Melayu hari ini.

Cuti sekolah dan peperiksaan

Telah 5 hari sekolah mula bercuti. Anak-anakku pelajar upper 6 di SMK Putra sedang bergelut dengan peperiksaan STPM. Hari ni mereka berdepan dengan kertas paling penting dalam STPM iaitu Pengajian Am 2. Lulus atau tidak, dapat masuk u atau tidak mereka tahun depan terletak pada kertas ini. Semoga apa yang diajar oleh Cikgu Azaha mereka gunakan dengan sebaik mungkin. Harapnya budaya meniru tidak berlaku dalam kalangan  mereka tahun ni. Kalau sekadar sedikit menjeling apalah salahnya kan, tapi kalau dah membawa masuk nota dan apa saja bahan terlarang, itu dah dikira melampau dan menempah maut namanya.

Terbayang di mataku wajah-wajah mereka… Baini yang suka ketawa, Rohani dan Siti Rokiah yang saya sering tertukar nama, Masitah, Farhana yang pendiam, Irno, Fizah, Mek Suriani yang pandai tapi kerap malas ke sekolah, Annur pelajar harapan 4A, Faizatul si jaguh tak hadir, Aznira, Rokiah, Famiza, Kudin yang kadang-kadang moody dan penggemar novel, Hapih yang gemar menggigit kuku (bimbang betul saya takut habis kuku digigitnya), Pizi (yang kerap kena kutir), Syida (6A1) dan dari kelas 6A2, Ghafar calon terbilang, Pok Loh ketua pelajar,  Zuki yang selalu disakat rakan-rakan,  Amirudin dan Azemuniza (ehemmm…. saya tahu), Emi dan Ain yang kerap tak hadir sekolah, Mejah, Miza yang sering tersengih, Azwan, Jauhari (potret yang awak lukis masih saya simpan), Nora (ehemmm.. ehemm.. saya dah lama tahuuuu…), Zeti (ikutilah langkah dan jejak kakak awak, Zainora), Mek Ton, Yusnina, Normazira yang setahun bertongkat, harap awak berjaya, Syidah gadis yang paling berbudi, Noraini, Najihah, Tuan Elyani, Linda, Wan Rohana.. dan saya malas nak menyebut nama ini… dia cukup meruntun jiwa saya kerana dia jadikan sekolah ini sebagai sekolah mak bapa dia yang punya… ABIJAN.. semoga kelak awak akan jadi manusia berguna walaupun tidak untuk orang lain, tapi diri untuk awak sendiri!!! Semoga kalian akan berjaya dalam peperiksaan ini dengan cemerlang dan melayakkan diri untuk masuk universiti tahun depan.

Sedih dan sayu rasa hati, melihat wajah anda semua… Pelajar silih datang dan silih pergi, tapi saya tetap di sini, mendidik dan mengajar anak-anak di desa ini. Semoga mereka punya masa depan yang cemerlang dan menjadi manusia sebenar manusia. Semoga ilmu yang ada dapat merubah nasib keluarga dan tidak terus mereka berada dalam kancah kemiskinan selamanya…..

SMK Putra - Anugerah Sekolah Terbaik STPM

Anugerah Pengarah Pelajaran Terengganu

Berdiri juga bulu romaku apabila menerima SMS bahawa SMK Putra dinobatkan sebagai Sekolah Terbaik STPM (Kategori Sekolah Harian Biasa) pada Ekspo Pendidikan Terengganu yang telah dirasmikan oleh YB Dato’ Razali bin Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada 9 November baru-baru ini yang berlangsung di Pusat Dagangan Terengganu (TTC). Tentu kembang hidung pengetuaku, Cikgu Ramli bin Mat Amin menerima anugerah tersebut. Semoga anugerah ini akan memberi perangsang kepada guru-guru dan pelajar untuk bekerja dan belajar dengan lebih gigih untuk meneruskan kecemerlangan STPM sekolah ini. Ini juga merupakan satu pengiktirafan bahawa sekolah ini, walau tercorot dalam banyak perkara masih mampu untuk bersaing dengan orang lain jika kita berusaha untuk mencapai visi dan misi. Harapnya, visi dan misi tidak hanya sekadar visi dan misi semata…

Tuhan ingin mengujiku dengan sedikit kesakitan…

Tuhan ingin mengujiku dengan kesakitan yang sedikit ini. Sudah 4 hari kakiku membengkak dan terpaksa berjalan terhincut-hincut dan menjadi bahan ketawa boss dan rakan-rakan.Menurut doktor, jari kakiku terkena jangkitan kuman.

Kesakitan yang kualami ini mungkin satu ujian yang Allah timpakan dan ada maksud tersirat yang ramai manusia tidak mengetahui hikmah di sebalik ujian tersebut. Ujian; sama ada ujian sakit, ujian miskin, ujian anak-anak, kena fitnah, kena hina dan sebagainya semuanya dalam kuasa Tuhan. Hakikatnya Tuhanlah yang mendatangkan ujian itu.

Hikmah sakit juga ialah tanda rahmat Tuhan. Melalui rasa sakit Tuhan akan menghapuskan dosa-dosa asalkan kita sabar dan redha. Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya:  “Seseorang hamba itu apabila tercatat namanya satu darjat dalam Syurga dan dia tidak dapat mencapainya dengan amal ibadah maka Tuhan datangkan ujian. Lantas dia bersabar atas ujian itu maka kekallah darjat itu di dalam Syurga.”
Semoga rasa sakit yang sedikit ini menyedarkanku bahawa ada dosa-dosa yang telah dilakukan dan ini hanyalah ujian kecil yang tak terbanding dengan ujian yang diturunkan kepada para nabi dan rasul.

Hari yang memenatkan

Seawal 7.30  pagi saya telah bergerak dari rumah ke SRAB Maarif untuk menghantar sedikit buah tangan untuk guru-guru Ucin, kemudian singgah di kedai depan SM Teknik Besut untuk minum pagi sambil menunggu Awang Rajuk. Seusai minum, kelibat Awang Rajuk masih tidak kelihatan. Sibuk kot… maklumlah, HENG sekarang. Lalu saya terus bertolak ke SMK Padang Midin, Kuala Terengganu kerana telah berjanji dengan Puan Norhaeida untuk mengendalikan slot ceramah teknik menjawab Bahasa Melayu seawal 10.30. Perjalanan sejauh 120 km lancar sahaja cuma trafik sesak sikit di atas jambatan Sultan Mahmud kerana ada kemalangan. Sambutan pelajar SMK Padang Midin kurang memberangsangkan. Mereka nampak agak pasif dan kurang bertanya. Mungkin mood peperiksaan telah melanda mereka.

Selesai tugas di SMK Padang Midin, saya bertolak ke SMK Bukit Besar kerana telah berjanji dengan Cikgu Zuhairi untuk memulakan sesi ceramah Bahasa Melayu pada jam 2 petang. Majlis hanya dapat dimulakan pada jam 2.45 petang. Berbeza dengan sambutan pelajar SMK Padang Midin, respons pelajar di sini sangat memberangsangkan dan mampu menimbulkan keceriaan pada saya.  Meraka banyak bertanya dan memberikan tindak balas yang menyebbakan saya rasa seronok. Memanglah, respons pendengar atau audiens boleh menimbulkan semangat kepada orang yang bercakap.

5.30 petang, sebelum bertolak balik saya singgah di Seberang Takir kerana mengidam untuk merasa keenakan keropok lekor Bukit Tok Beng. Malangnya apabila melihat terlalu ramai yang beratur, terpaksalah saya melupakan keinginan saya. Selepas singgah di masjid KUSZA untuk solat jamak taakhir Asar dan Zuhur saya terus pulang dan sampai ke rumah jam 7.00 petang. Awang Rajuk dan anak-anak setia menunggu. Alhamdulillah, saya dapat berjumpa kembali keluarga yang saya cintai….

Hari ini cuti umum Deepavali

Huda, 2 dari kanan… sorry Huda, bukan iklan ni!!

Hari ni cuti umum sempena Hari Deepavali. Sesetengah negeri, ada sekolah yang telah bercuti dari hari Jumaat lagi seolah-olah begitu ramai pelajar berbangsa India di sekolah mereka. Hari ini saya dikunjungi bekas anak murid saya di SMK Tengku Mahmud. Huda namanya. Dah jadi peguam dia sekarang dan berkhidmat di salah sebuah firma guaman di Kota Bharu. Huda antara anak murid saya yang tak pernah lupa dan sering menghubungi saya. Saya mengajarnya Bahasa Melayu. Pada masa tu dia belajar di kelas 621 kalau tak silap saya pada tahun 2000 dan Huda kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa dalam bidang undang-undang. 8 tahun telah berlalu dan Huda tetap seperti dulu. Peramah, lembut, cantik dan semoga Huda akan terus mengekalkan ciri-ciri peribadi mulianya. Doa saya Huda akan dipertemukan dengan lelaki idaman dan mendapat jodoh yang baik. Dan untuk pelajar-pelajar saya yang telah mula melupai saya, contohilah Huda.

Sebagai guru, tiada hadiah yang paling bermakna bagi mereka kecuali ucapan ‘terima kasih’ dan ingatan daripada bekas anak murid mereka. Saya telah berkhidmat hampir 20 tahun dan mempunyai hampir ribuan anak murid. Berapa ramaikah daripada jumlah ribuan murid kita ini yang masih mengingati guru-guru mereka? Saya berdepan dengan pelbagai jenis karenah manusia. Ada bekas pelajar kita yang cukup seronok jika berjumpa kita, dan ada yang berpura-pura tidak nampak dan tidak mengenali saya lagi. Alhamdulillah saya dikurniakan Ilahi dengan ingatan yang agak kuat. Saya mampu mengenali wajah bekas-bekas pelajar saya walaupun saya telah melupai nama sebahagian daripada mereka. Mungkin jasa guru sudah lagi tidak dipandang tinggi. Kerjaya guru dianggap sebagai pekerjaan makan gaji semata-mata, apa perlu diingati kerana guru sudah mempunyai gaji bulanan dan mereka dibayar untuk tugas mengajar mereka. Walau apapun, saya masih lagi mengingati guru-guru saya walaupun sebahagian daripada mereka telahpun kembali ke rahmatullah. Salam untuk semua pendidik yang pernah mengajar saya sehingga mengenal alif ba ta dan berjaya menjadi manusia.

Salam…..

Hari ni saya kembali ke sekolah setelah 5 hari keluar daerah. Seperti biasa, pelbagai tugasan menunggu. Pelajar-pelajar sedang menjalani ujian akhir tahun. Harapnya suasana sepanjang musim peperiksaan ini akan sedkit aman, tanpa kebisingan melampau yang seolah-olah sudah jadi budaya di sini. Hairan juga melihat telatah anak-anak desa yang tak punya matlamat datang sekolah…. tanpa buku, tanpa menggalas beg, tanpa pensil dan alat tulis.. Mungkin mak bapak mereka pun dah tak larat nak mendidik anak sendiri lantas bulat-bulat tugas ini diserahkan kepada guru-guru di sekolah.